Tuesday, September 29, 2009

SOKONGAN


PAS calonkan Zulkefly

Abdul Rahim Sabri
Sep 29, 09
11:59am


Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar diumumkan malam ini sebagai calon PAS dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober depan.

Pemilihan Zulkefly diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di pusat penyelarasan DAP bagi pilihanraya kecil berkenaan dekat Port Dickson.

Petang tadi, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pemilihan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN.

Dewan Harian PAS bermesyuarat petang tadi untuk memuktamad pemilihan calonnya di Bagan Pinang.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang, menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi.


http://www.malaysiakini.com/news/113794

Friday, September 4, 2009

ADUN BN Bagan Pinang NS meninggal


ADUN BN bagi Bagan Pinang, Negri Sembilan, Azman Mohd Noor meninggal dunia di Seremban hari ini.
Beliau meninggal dunia pada jam 2.30 petang tadi di Pusat Pakar Seremban.

Dalam pilihanraya umum lalu, Azman, 54, menang dengan mendapat 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail yang mendapat 4,097 undi.
Dalam pilihanraya umum lalu, DUN Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi yang 66 peratus Melayu, Cina (10.5%), India (19.9%) dan lain-lain (3.5%).

Ekoran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan pilihanraya kecil dalam tempoh 60 hari ini.
Ia merupakan pilihanraya kecil kesembilan selepas pilihanraya umum tahun lalu.

Bagan Pinang merupakan kawasan DUN dalam Parlimen Telok Kemang. Empat lagi DUN dalam parlimen tersebut ialah Chuah, Lukut, Linggi dan Port Dickson.

Dalam pilihanraya umum lalu, Parlimen Telok Kemang dimenangi oleh calon PKR, Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Manakala DUN Chuah pula dimenangi oleh PKR, Lukut (DAP), Linggi (BN) dan Port Dickson (PKR).

Azman juga merupakan naib ketua Umno bahagian Teluk Kemang.

Menurut Bernama, anak lelakinya Hairol Asfani, 22, berkata bapanya meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah.
BN menguasai 21 daripada 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan. Dalam pilihan raya lalu, DAP menang 10 kerusi, PKR (4) dan PAS (1).
Allahyarham meninggalkan seorang isteri Normah Zainal Abidin, 49, dan lima anak iaitu Mohd Khusairi, 23, Hairol Asfani, 22, Norsyazila, 19, Norsyafikah, 16, dan Norsyafitra, 13.
Hairol Asfani yang ditemui pemberita di hospital itu berkata bapanya dimasukkan ke hospital pada jam 3.30 pagi tadi akibat demam dan tidak boleh berjalan. "Ayah mengadu demam sebelum ini tapi boleh berjalan tetapi lepas berbuka (puasa) petang semalam ayah tidak boleh berjalan," katanya.
Beliau berkata semua anggota keluarga berada di sisi bapanya semasa allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 2.30 petang.
Hairol Asfani berkata bapanya pernah menjalani pembedahan pintasan koronari pada Mei lalu.
Turut hadir di hospital ialah Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Menteri Besar yang juga Ketua Umno Bahagian Telok Kemang Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

"Allahyarham merupakan kawan lama saya dalam Umno, tambahan pula beliau adalah Naib Ketua Umno Bahagian Telok Kemang dan telah berkhidmat dengan baik. Saya berharap keluarga allahyarham dapat bersabar menerima dugaan ini dengan tabah," kata Mohamad.

Mohd Isa pula berkata pemergian allahyarham adalah kehilangan seorang tokoh Umno Bahagian Telok Kemang dan Negeri Sembilan.

Katanya allahyarham adalah seorang yang taat kepada parti dan komited dalam tugasan yang diberikan kepadanya.

Jenazah allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan kariah Bagan Pinang malam ini.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan Datuk Abdul Razak Mansor berkata beliau akan mengemukakan notis mengenai kekosongan kerusi DUN Bagan Pinang kepada SPR Isnin ini (7 September).

"Terpulang kepada SPR untuk menentukan tarikh penamaan dan pengundian bagi pilihan raya kecil DUN itu," katanya.