Sunday, August 3, 2008

Wan Azizah Wan Ismail - Lady of Grace

Sunday, August 3, 2008
Wan Azizah Wan Ismail - Lady of Grace



Intro

Siapa tidak kenal dengan Ketua Pembangkang Malaysia di Dewan Rakyat. Datuk Seri Dr Wan Azizah binti Wan Ismail yang pernah menjadi wanita no 2 paling penting dalam negara, sebelum suaminya dipecat daripada semua jawatan dalam kerajaan dan kabinet ketika era penguasaan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (sekarang Tun). Beliau merupakan seorang wanita yang tabah dan berani mempertahankan suami, diangkat menjadi ahli politik secara tiba-tiba, demi membela nasib suami tercinta. Semuanya berlaku dengan mengejut.


Saya bukan peminat parti beliau, yang juga merupakan serpihan daripada parti utama di Malaysia sekarang. Saya mengakumi semangat perjuangan beliau, bukan ideologi perjuangannya.


Beliau merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merupakan gabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Parti Keadilan Nasional lahir daripada gelombang Reformasi yang melanda negara selepas pemecatan Anwar Ibrahim daripada UMNO pada September 1998. Peristiwa tersebut menjadi titik kesedaran bagi rakyat Malaysia pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.

Datuk Seri Dr Wan Azizah ibarat Ibu Kartini di Indonesia. Dari zaman antara 30 hingga 40 an. Ibu kartini membuka jalan untuk kaum-kaum wanita khususunya ibu-ibu untuk memartabatkan serta meningkatkan taraf kaum wanita.

Datuk Seri Dr Wan Azizah yang berjuang hampir 10 tahun merupakan contoh serta teladan bagi kita. Perjuangan beliau yang tidak berbelah bahagi di dalam mempertabatkan serta memperjuangkan hak wanita dari dulu hingga kini.

Yang Berbahagia Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (dilahirkan pada 3 Disember 1952), merupakan seorang ahli politik Malaysia yang hebat dan merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh sejak 1999 hingga 2008. Baru-baru ini, beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam pilihanraya kecil yang bakal diadakan dalam tempoh 60 hari selepas beliau meletakkan jawatan.



Asal Usul

Dilahirkan pada 1952, Wan Azizah mendapat pendidikan awalnya di St. Nicholas Convent School, Alor Setar dan menyambung pelajaran di salah sebuah sekolah berprestij, iaitu di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban. Beliau kemudian menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Rotal College of Surgeons in Ireland dan telah dianugerahkan pingat emas dalam bidang obstetrik dan ginekologi. Beliau kemudiannya graduate sebagai ophtalmologist (pakar mata).

Wan Azizah berkhidmat dengan kerajaan sebagai doktor selama 14 tahun sebelum bertindak membuat keputusan untuk memfokuskan kepada kerja-kerja amal, iaitu apabila suaminya dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1993. Beliau merupakan penasihat bagi (Majlis Kanser Nasional or National Cancer Council) dan menjadi wanita kedua yang menjadi pemimpin Presiden parti dalam sejarah lanskap politik Malaysia (Ganga Nayar merupakan wanita pertama yang menjadi Presiden Malaysian Worker’s Party pada 1978).

Wan Azizah merupakan keturunan daripada Cina Peranakan.

Beliau telah dianugerahkan Darjah Panglima Pangkuan Negeri (Order of the Defender of the State), darjah kedua paling tinggi di Pulau Pinang) pada hari ulangtahun kelahiran Yang Dipertua Pulau Pinang pada 12 Julai 2008 yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’. Pada awalnhya beliau menolak, tetapi setelah dirayu oleh YB Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang), beliau menerimanya. Sedekad yang lepas, beliau pernah ditawarkan anugerah yang membawa gelaran Dato', tetapi beliau menolak tawaran itu.



Karier Politik

Selepas peristiwa pemecatan dan penahanan suami beliau pada 20 September 1998, Dr Wan Azizah mendapat sokongan dan suntikan semangat daripada rakyat Malaysia untuk memimpin gerakan Reformasi. Untuk pertama kalinya, beliau menubuhkan dan menjadi pemimpin bagi Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK, salah satu NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia) sebelum menubuhkan dan menjadi Presiden Parti Keadilan Nasional (PKN) pada 4 April 1999.

Pada 3 Ogos 2003, beliau telah melakukan perubahan pada PKN, di mana satu gabungan dilakukan dengan parti lama, iaitu Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang menghasilkan Pasti Keadilan Rakyat (PKR) dan telah dilantik sebagai Presiden PKR yang pertama sehingga sekarang.

Untuk pilihanraya yang pertama yang disertai beliau pada 1999, parti beliau berjaya mendapatkan 5 kerusi di parlimen dan beliau telah dipilih rakyat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, kerusi yang sebelumnya disandang oleh suaminya, Anwar Ibrahim dengan majoriti undi sebanyak 9077. Beliau berjaya mengekalkan kerusi Permatang Pauh pada pilihanraya tahun 2004 dengan majoriti yang lebih rendah berbanding 1999.



Sebagai seorang pemimpin politik parti dan wakil daripada parlimen, Dr Wan Azizah aktif terlibat dalam banyak program dan aktiviti tempatan dan antarabangsa. Beliau telah bersuara dengan lantang menyuarakan pendapatnya di program-program yang dianjurkan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Beliau juga merupakan Timbalan Pengerusi bagi Malaysian Parliamentary Caucus for Democracy di Myanmar dan ahli ASEAN Inter-Parliamentary Myanmar Caucus.

Dr Wan Azizah memenangi kerusi parlimen Permatang Pauh pada 2008 untuk pilihanraya ke-12 dengan majoriti 13,388 undi. Beliau telah disokong oleh segenap parti Pakatan Rakyat untuk memimpin pihak pembangkang di Dewan Rakyat.

Selepas tempoh Anwar Ibrahim yang dihalang daripada menyertai politik negara, beliau mengumukan untuk bertanding di Permatang Pauh, yang pernah dipegangnya dahulu. Dr Wan Azizah telah menyatakan kesediaan untuk mengosongkan kerusi tersebut bagi memberikan laluan kepada Anwar pada 31 July 2008 tetapi beliau masih lagi Presiden PKR dan Pengerusi bagi Yayasan Aman.

Penutup

Saya begitu mengagumi Wan Azizah yang mempunyai semangat kental dan tabah dalam perjuangan. Dunia politik penuh cabaran dan dugaan. Untuk seorang wanita yang lembut seperti Wan Azizah diangkat menjadi ahli politik secara mengejut bukanlah satu kerja yang mudah dan beliau terpaksa berjuang tanpa sokongan dan semangat daripada suami tercinta, yang telah dipenjarakan pada ketika itu. Beliau bangkit, demi membela keadilan anak-anak dan suami dan beliau tidak berada dalam keadaan yang sentiasa selesa. Banyak halangan yang beliau hadapi sepanjang 10 tahun penglibatannya dalam dunia politik.



Mungkin dalam keadaan situasi beliau sebegitu yang membuatkan saya kagum dengan beliau. Ada yang akan berkata, banyak lagi pemimpin wanita Melayu Islam yang boleh dikagumi, tetapi mengapa Wan Azizah menjadi pilihan?

Semoga dipertemukan jodoh dengan wanita yang semangat juangnya sehebat Wan Azizah, insyaAllah.

Semoga diberi kekuatan.


http://sautuqalbi.blogspot.com/2008/08/wan-azizah-wan-ismail-lady-of-grace.html

No comments: