Saturday, December 27, 2008

Hukum Hudud – Jika UMNO tidak bersedia, mengapakah pula mencabar orang lain?

Kenyataan media oleh Setiausaha DAP Selangor, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Bahagian Petaling Jaya Utara dan ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 27hb Disember 2008 di Petaling Jaya:

Hukum Hudud – Jika UMNO tidak bersedia, mengapakah pula mencabar orang lain?

Desakan dan cabaran yang dilemparkan ke atas parti-parti komponen Pakatan Rakyat (PR) untuk menerangkan pendirian parti masing terhadap Hukum Hudud oleh parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) merupakan sesuatu yang sangat ganjil dan tindakan hipokrit.

PAS dipaksa untuk menyatakan kedudukannya berkenaan dengan perkara ini oleh UMNO di mana kedudukan PAS ini bukan sesuatu yang baru dalam arena politik Malaysia.

Apa yang menghairankan ialah apabila UMNO mencabar PAS untuk menerangkan pendiriannya tentang Hukum Hudud, adakah UMNO sendiri juga ingin melaksanakan Hukum Hudud?

Jika UMNO sendiripun tidak bersedia untuk melaksanakannya, mengapakah UMNO pula mencabar pihak lain untuk melaksanakannya? Adakah ini bermakna UMNO sendiri akan melaksanakan dasar ini dan yakin dapat mendapat sokongan dan kepercayaan daripada parti-parti komponen yang lain di dalam BN?

Apa yang sepatutnya ialah parti-parti komponen BN harus bertanya kepada UMNO adakah Hukum Hudud akan menjadi sebahagian daripada dasar BN sehinggakan UMNO sanggup bertarung dan berlumba-lumba dengan PAS untuk melaksanakan dasar Hukum Hudud?

Oleh itu, cabaran dan desakan yang mereka lemparkan kepada parti-parti komponen PR merupakan satu tindakan hipokrit yang bertujuan untuk memesongkan perhatian rakyat terhadap isu sebenar yang terus meyelubungi tanahair kita seperti kemelesetan ekonomi yang bakal bertukar lebih teruk selepas bulan Februari 2009.

Sesuatu dasar itu tidak akan menjadi dasar PR melainkan mendapat persetujuan sebulat suara daripada kesemua parti komponen PR. Dalam kes ini, DAP berpendirian teguh bahawa Hukum Hudud tidak bersesuaian dengan masyarakat majmuk Malaysia dan oleh itu ianya tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia.

Lau Weng San

No comments: