Thursday, April 24, 2008

YB Pakatan Rakyat, mana BLOGnya?

Surat perutusan kepada Tuan Guru Dato’ Seri Presiden PAS, Presiden PKR dan Pengerusi DAP: YB Pakatan Rakyat, mana BLOGnya?

Kiriman: Ulit Mayang


Pengenalan Bertitik tolak dari satu siri mencari maklumat mengenai aktiviti – aktiviti yang sedang dijalankan oleh YB Pakatan Rakyat, di peringkat Parlimen dan Negeri, yang menang dalam PRU-12 lalu, di alam siber ini, apa yang diperolehi sedikit mendukacitakan, di mana tidak ramai dari YB Pakatan Rakyat yang telah mempunyai laman – laman web atau blog peribadi atau kawasan yang diwakili, maaf sekiranya tidak dapat menjejaki atau ada yang tertinggal atau tidak ditemui, sama ada aktif atau tidak aktif bukanlah persoalan besar di peringkat ini. Ini bermakna sebahagian besar masih tidak ada.

Tidaklah diketahui sama ada dalam pembinaan atau memang belum ada lagi atau belum dihebahkan lagi. Kalau boleh di sini saya senaraikan beberapa blog yang telah ada seperti YB Tuan Guru Presiden PAS, YB Husam Musa, YB Mahfuz Omar, YB Sdr Zulkifli Nordin, YB Lim Kit Siang, YB Ir Khalid Samad, ………………

Maaf, bukan dengan tujuan untuk mempromosi, laman blog YB Dato’ Haji Husam Musa, ADUN Salor, Kelantan Darul Naim, merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan Dan Kebajikan, adalah paling menarik dan boleh dijadikan contoh dan rujukan kepada YB Pakatan Rakyat.

Sehubungan dengan itu menyedari kepada kepentingan media alternatif laman web dan blog, hari ini dan akan datang, walau dengan seribu kekurangan dan kekangan, sama ada kewangan, masa dan tempat, YB dari Pakatan Rakyat tidak dapat tidak, kata orang ‘by hook or crook’, perlu menjadi sebahagian dari ahli dalam bidang itu, kita tidak boleh lari dari teknologi IT ini. Kemenangan cemerlang PRU-12, telah menjustifikasikan kepentingannya.

Sekiranya telah ada, hebahan haruslah dibuat di laman-laman web reformasi seperti http://www.tranugkite.net/, http://www.harakahdaily.net/, www.marhaen.org/v1 dan lain–lain. Jangan sekali–kali lupa maklum kepada sekalian penduduk dan pengundi di kawasan yang dimenangi di seluruh Negara.

Inisaitif ini diambil, bukan bermaksud untuk mengarah, mengajar atau menunjuk - nunjuk atau apa – apa niat yang tidak baik, diutuskan surat ini kepada pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, supaya ‘arahan’ atau seruan wajib atau peringatan, kepada semua YB Pakatan Rakyat di peringkat Parlimen dan Negeri, supaya memiliki laman – laman web atau blog peribadi atau kawasan yang diwakili dan membuat hebahan di kawasan masing – masing dan juga menerusi internet web reformasi.

Adalah sangat difahami, ketiadaan laman–laman web atau blog oleh sebahagian dari YB Pakatan Rakyat, sehingga kini, mungkin disebabkan oleh kesibukan diraikan dan meraikan kemenangan, dengan menghadiri jamuan dan khenduri ksyukuran di sana dan sini, yang masih belum selesai lagi.

Walau bagaimanapun, dalam kesibukan itu, harus lah juga dimulakan tugasan untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat dan pengundi – pengundi di kawasan masing – masing. Dirasakan, sekarang iaitu setelah sebulan selepas pilihan raya umum, kemenangan ini elok sangat diisi dengan khidmat dan bakti seperti yang dijanjikan dalam manifesto.

Adalah lebih baik dan sangatlah elok, sekiranya YB dari Pakatan Rakyat memimpin gerakan, seiring dengan teknologi IT, mendahului serta menjadi contoh ‘role model’ kepada lain – lain wakil rakyat di Negara ini.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Kepada yang dihormati.

YB Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia Pejabat Agung PAS, No. 318-A, Jalan Raja Laut Kuala Lumpur, Malaysia 50350

YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Parti Keadilan Rakyat Biro Penerangan Pusat 110-3 Jalan Tun Sambanthan 50470 Kuala Lumpur Malaysia

YB Karpal Singh
Pengerusi Pusat DAP No 24, Jalan 20/9, Paramount Garden, 46300, Petaling Jaya, Selangor.

Tarikh : 22 April 2008

Perkara : BLOG YB Pakatan Rakyat

Dengan segala hormatnya perkara di atas dirujuk

2. Pertama, tahniah diucapkan kepada Yang Berhormat – Yang Berhormat Dato’ Seri/Datin Seri/Tuan, di atas kemenangan cemerlang Pakatan Rakyat di dalam Pilihan Raya Umum ke -12, pada 08 Mac 2008 yang lalu dengan kejayaan memenangi sebanyak 82 kerusi Parlimen dan menawan 5 +1 negeri.

3. Telah banyak dibincangkan faktor–faktor kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU-12 ini. Salah satu penyebab ialah keberkesanan penyaluran maklumat secara terus dan cepat melalui laman – laman web, blog dan sms. Ini telah diperakui sendiri oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

4. Sehubungan dengan itu, besarlah harapan sebahagian dari rakyat dan pengundi serta petugas, yang menggerakkan jentera alternatif ini, supaya Yang Berhormat – Yang Berhormat Dato’ Seri/Datin Seri/Tuan dapat memberikan satu arahan dan peringatan serta ‘seruan wajib’, secara jelas kepada semua ahli-ahli Yang Berhormat dari Pakatan Rakyat, samada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, supaya dapat membina satu laman web atau blog, masing – masing, dengan kadar yang segera.

5 Untuk pengetahuan Yang Berhormat – Yang Berhormat Dato’ Seri/Datin Seri/Tuan, media alternatif ini merupakan salah satu saluran pilihan komunikasi yang sangat berkesan pada hari ini, yang bertujuan untuk membentuk satu kaedah berkomunikasi antara sebahagian daripada rakyat di sesuatu kawasan dengan wakil – wakil rakyatnya. Disamping itu, kemungkinan banyak juga cadangan – cadangan, idea dan buah fikiran daripada penduduk dan pengundi setempat serta dari luar, dapat disalurkan terus kepada YB Pakatan Rakyat, demi untuk memajukan sesuatu kawasan tersebut.. Walaubagaimanapun, adalah diharapkan YB Pakatan Rakyat atau pekerja–pekerja di Pusat Khidmat Masyarakat yang telah diwujudkan mestilah secara berkala, kalaupun tidak setiap hari, sentiasa mengaktifkan dan mengemaskini maklumat – maklumat yang terdapat di dalamnya.

6. Sebahagian daripada rakyat merasakan kecanggihan teknologi maklumat ini, tidak perlulah ditakuti oleh Ahli – ahli Yang Berhormat dari Pakatan rakyat, malah perlulah kita memanfaatkannya secara maksimum.

7. Yang Berhormat – Yang Berhormat Dato’ Seri/Datin Seri/Tuan, Kandungan, format dan set up laman- laman web dan blog, terpulanglah kepada kemahiran Ahli – ahli Yang Berhormat Pakatan Rakyat untuk membinanya. Walaubagaimanapun, asas utama kandungannya perlulah mengandungi beberapa perkara berikut, iaitu Biodata YB Pakatan Rakyat, Objektif, Misi, Visi, Pelan Tindakan, Program, Aktiviti dan Biro–biro pentadbiran dan pengurusan setempat serta lain – lainnya.

8. Diharapkan dengan kewujudan laman-laman web dan blog ini, dapat menjadi satu kaedah untuk pengundi, penduduk setempat menilai keberkesanan Ahli–ahli Yang Berhormat, memberikan khidmat dan berkhidmat di sesuatu tempat. Sekiranya pencapaian tidak memuaskan atau tidak memenuhi kehendak minimum penduduk setempat, maka bagi penggal yang akan datang pengurusan parti mempunyai pilihan bagi mencari calon – calon yang lebih baik dan berwibawa.

9. Untuk pengetahuan Yang Berhormat – Yang Berhormat Dato’ Seri/Datin Seri/Tuan, banyak juga manfaat lain yang akan diperolehi dari laman – laman blog ini, dimana pengurusan parti di peringkat ibu pejabat dan negeri dapat mengawasi dan menilai prestasi kerja setiap YB Pakatan Rakyat, di samping untuk membolehkan semuanya mahir dengan teknologi IT.

10. Yang Berhormat – Yang Berhormat Dato’ Seri/Datin Seri/Tuan, pengurusan parti mungkin dapat mengadakan kursus, seminar dan brainstorming mengenai penyediaan dan pengendalian laman – laman web dan blog, kepada semua YB Pakatan Rakyat, dalam masa terdekat dengan kadar yang segera, mungkin tindakan ini perlu disegerakan. Maaf dimohon sekiranya, dengan mengutuskan surat ini, ia tidak mengikut lunas, adat dan tata susila serta peraturan dan prosidur yang sepatutnya.

Kerjasama dan pertimbangan dari Yang Berhormat – Yang Berhormat Dato’ Seri/Datin Seri/Tuan, sangat dialu – alukan dan dihargai.

Sekian, terima kasih
TT ______________________ Ulit_Mayang Ulit_mayang@yahoo.com
Malaysia

- Ulit Mayang (Ulit_mayang@yahoo.com)
24.04.2008

No comments: