Monday, April 28, 2008

Kedah buka 1,500 hektar tanah sawah baru

PENDANG 25 April - Kedah akan membuka 1,500 hektar kawasan tanah sawah baru sebagai satu usaha meningkatkan jumlah pengeluaran padi untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan beras dalam negara, kata Menteri Besar Azizan Abdul Razak.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah berbincang dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) berhubung perkara itu dan akan melaksanakannya secepat mungkin.

"Kerajaan negeri hanya menunggu persetujuan daripada Kerajaan Pusat untuk membantu membuka kawasan baru itu.

"Lokasi yang telah dikenal pasti ialah kawasan pinggir Mada di Yan dan Pendang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut di sini hari ini
Azizan berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan Mada untuk mencari inisiatif bagi meningkatkan pengeluaran padi daripada empat kali kepada lima kali dalam dua tahun.

Katanya, bagi meningkatkan pengeluaran padi, kerajaan negeri juga mengambil langkah untuk tidak membenarkan sebarang pembangunan dilakukan di kawasan tanah sawah.

"Banyak lagi kawasan lain boleh dibangunkan. Kita perlu tingkatkan pengeluaran untuk memastikan bekalan beras mencukupi," katanya.

Terdahulu Azizan menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada 58 pemilik rumah di 10 buah kampung di daerah Pendang yang dilanda ribut Selasa lepas.
- Bernama

No comments: