Wednesday, April 16, 2008

Kelantan Anjur Pertandingan Dikir Barat Asean Ogos Ini

KOTA BAHARU, 16 April (Bernama) -- Bagi mengangkat seni budaya dikir barat Kelantan ke dunia luar, di samping mempromosikan Tahun Melawat Kelantan 2008 (TMK 08) yang berlangsung kini, kerajaan negeri akan menganjurkan kejohanan dikir barat Asean International menjelang Ogos.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, "Pemilihan peserta kejohanan ini akan dibuat secara berperingkat bermula dari peringkat kawasan kampung, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), kawasan Parlimen dan seterusnya ke peringkat Asean," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco di sini hari ini.Menurutnya, juara di peringkat negeri akan menyertai kejohanan itu yang melibatkan empat negara Asean lain -- Thailand, Singapura, Indonesia dan Brunei.Takiyuddin berkata, Kelantan juga akan membawa seramai 1,500 pendikir untuk bertanding pada kejohanan itu."Kita juga berhasrat memecahkan rekod sebelum ini yang dicatat dalam Malaysia Book Of Record iaitu seramai 1,000 pendikir," katanya.Selain itu beliau berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama badan pelancongan Kelantan akan mengadakan pertandingan wau antarabangsa pada pertengahan Mei ini.Menurutnya, seramai 37 peserta dari negara luar seperti Jepun, Sweden dan Switzerland akan menyertai pertandingan berkenaan.Kerajaan negeri mensasarkan kedatangan enam juta pelancong sepanjang TMK 08.-- BERNAMA

No comments: